Tuesday, August 13, 2024

Warkah buat adikku

 



    Pertama sekali, aku panjatkan syukur setinggi-tingginya ke hadrat Ilahi. Dengan limpahan kasih dan rahmat-Nya, hubungan yang kalian bina lebih lima tahun kini terjalin dalam ikatan pertunangan yang penuh keberkatan. Ikatan suci ini, yang mendapat restu kedua-dua keluarga, menandakan langkah pertama kalian menuju ke alam rumah tangga, sebuah perjalanan baru yang menanti penuh harapan dan impian.

    Wahai suami adikku, ketahuilah bahawa aku menyayangi adikku, walaupun kasih itu jarang sekali aku tunjukkan. Dalam diam, dia sentiasa ada di hatiku, menghiasi kehidupan kami sekeluarga dengan cahayanya. Pesanku, jagalah dia seumpama kau menatang minyak yang penuh. Lindungilah dia dengan sebaik-baiknya, lebih baik dari kami menjaga dia, lebih baik dari aku menjaga rumah tanggaku sendiri.

    Jangan sekali-kali kau ulangi kesalahan yang pernah aku lakukan. Kesilapan yang aku sendiri tak mampu untuk tebus. Biarlah kau tahu, aku pernah melakukan kesalahan yang besar, kesalahan yang melukai hati banyak orang, termasuklah hatiku sendiri.  

    Oleh itu, Jangan kau ulangi kesalahan yang aku lakukan, mengecewakan hati-hati yang tak berdosa. Setiap luka yang tercipta, setiap hati yang terguris, sukar untuk dimaafkan. Aku sendiri masih bergelut memaafkan diriku. Walaupun kini aku diberi peluang kedua, ketahuilah sebelum peluang itu hadir, ada hati yang aku terpaksa lukakan. Sekiranya aku diberi sekali sahaja lagi peluang, pasti aku akan dapatkannya bersama semula.

     Jika suatu hari nanti kau merasakan bahawa kau tidak lagi memerlukan dirinya, pulangkanlah dia dengan penuh kelembutan dan hormat, sebagaimana kau menyuntingnya dengan penuh harapan dan doa. Aku, sebagai abangnya, tetap akan merasa pedihnya. Namun, aku menghormati keputusanmu, dan akan sentiasa mendoakan yang terbaik buat kalian berdua.

Nukilan.
Abang aka Pes Yang Tidak Sempurna

Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

No comments:

Post a Comment