Saat pandangan bersilang tak bersapa,
mata berbicara tanpa suara.
Jiwaku tahu belum pun reda,
kisah lama masih mencari makna.
Langkah menjauh tak pernah rela,
tapi hati masih juga berpatah semula.
Pada lorong kenangan yang sengaja dibiar pudar,
aku kembali walau sekadar bersandar.
Ego, dinding bisu yang kita bina,
tinggi, megah, tak mudah runtuh begitu saja.
Di sebalik kerasnya tembok yang tak bernama,
ada rindu yang sunyi tak pernah sirna.
Bersalahku bukan kerana tak setia,
tetapi kerana cinta, aku tinggalkan kerana terpaksa.
Mengkhianati rasa bukan pilihanku,
tapi waktu memaksa aku berlalu.
Ada luka yang tak berdarah,
tapi peritnya masih menggugah.
Setiap kali kau ada aku pasrah,
berpura-pura tenang, sedang hati rebah.
Dan bila kau senyum, walau bukan untukku,
aku tenang walau seketika waktu.
Bahagiamu, walau aku tak di sisi,
masih mampu buat jiwa ini berdiri.
Tak pernah aku pinta peluang semula,
cuma ingin kau tahu dalam tiap doa,
namamu masih kusebut tanpa suara,
dalam diam, dalam duka, dalam percaya.
Kita tak perlu kata-kata,
kerana mata telah lama berbicara.
Andai takdir memberi ruang terbuka,
mungkin kita tak akan mudah melepaskannya.
Dan jika dunia ini sempit untuk kita,
aku cuma ingin bertanya
masih adakah ruang kecil antara kita berdua,
walau hanya dalam ruang rahsia?
Bukan untuk kembali bersama,
tapi agar kita tak terus berpura-pura
bahawa yang pernah membahagiakan jiwa,
boleh padam begitu sahaja.
Biarlah kini kita dua jiwa yang menyimpan,
dalam sunyi, dalam rindu yang tak dilafazkan.
Dalam tenang yang penuh gelora,
dan dalam doa yang tak pernah henti bersuara.