Saturday, June 26, 2021

P.T.M. (Permata Titipan Manikam)


Alhamdulilah,
Terlunas sudah tanggungjawabku dalam perkampungan maya. Sesuai dengan angka 5, selain 5, waktu aku mencariNYA, 5, hari aku meneroka jalan-jalan di sana. Dalam Perkampungan itu, terlihat penduduknya memakai busana yang sama. Tidak seperti aku masih telanjang dalam pakaian ilmuan. Aturan hidupnya berbeza, adab susilanya juga berlainan.

Walaupun begitu, penduduknya ramah dan mudah untuk aku bicara, hanya tinggal aku yang sedikit merasa, darjatku bukan dengan mereka. 

Aku silangkan hati dengan senyuman, cuba merajai keselesaan mereka dengan kemunafikan sehingga masing-masing terlupa akan kenyataan. Kenyataan yang aku bukan dari kalangan kalian.

Dari pangkal hinggalah ke penghujung, tanpa aku sedar, banyak kenangan tercipta disetiap pelusuk dan ruang. Menjadi penghulu dan bukannya Tok Dalang. Terbitnya dari dasar kepercayaan. Sesungguhnya aku tak mampu menahan kehibaan. 

Namun aku tetap memainkan lakonan, 

menyimpan semua keraguan,

menyisip hadhari ke jiwa Insan,

mengubah yang terbiasa kepada yang tak disangka-sangka.


hanya itu sahaja yang aku mampu untuk aku sumbangkan.

Maafkan aku terus berlalu, perananku habis setakat itu.
Aku malu untuk menipu, rasa berdosa walau dititip rindu.
Mana mungkin kerikil sama dengan permata. Hidup ditepi jalan dengan hidup dalam rebutan.

Aku sentiasa doakan kejayaan kalian. Terima kasih untuk kenangan. Sesungguhnya Kalianlah Permata Titipan Manikam.

Aku hanya pelakon di Pentas Tuhan dan hanya Pemerhati Tanpa Mata.



Nukilan Pes Yang Tak Sempurna
2021